Rabu, Oktober 22, 2008

GENG WARUNG TEMPA SEJARAH




Geng Warung

Hai pengunjung semua. Lama kita tidak bertemukan. Terima kasih kerana terus mengundi di ruangan soalselidik blog ini. Pada Rabu lepas, Geng Warung telah menghadiri majlis berprestij Anugerah MSC-Apicta 2008. Walaupun kami tidak memenangi sebarang anugerah, tetapi kami amat berbangga kerana dicalonkan antara 5 yang terbaik di seluruh negara bagi kategori sekolah rendah. Oleh itu, teruskan menyokong blog ini dan hantarkan pandangan-pandangan anda. Terima kasih semua!

Rabu, Oktober 08, 2008

BERITA GEMBIRA


SELAMAT HARI RAYA SEMUA! Bagaimana dengan suasana hari raya anda? Pasti meriah dan ceriakan! Sekembali kami daripada cuti perayaan ini, Geng Warung dikejutkan dengan satu berita yang amat gembira. Weblog www.jomkewarung.blogspot.com ini telah dicalonkan sebagai finalis kategori Sekolah Rendah Pertandingan MSC Malaysia Apicta 2008, iaitu satu pertandingan yang menyokong penggunaan IT dan dunia siber di negara ini. Pertandingan ini amat berprestij sekali!
Pada 15 Oktober nanti, bertempat di KL Performing Arts Centre, Geng Warung akan berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato'Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang merupakan tetamu kehormat majlis penyampaian anugerah MSC Malaysia Apicta 2008. Sesungguhnya ini merupakan satu penghormatan kepada kami dan misi kami untuk membantu memajukan perniagaan warung di negara ini.Terimakasih juga kepada guru-guru dan ibubapa yang menyokong projek kami selama ini. Dan tidak lupa, TERIMA KASIH MSC APICTA!

Sabtu, September 27, 2008

LEMANG DI AIDILFITRI

Hari raya menjelang tiba. Pada masa ini, Geng Warung sibuk membantu keluarga mengemas rumah dan membuat persiapan raya. Kami juga berpakat akan mengambil gambar-gambar warung yang menarik dalam perjalanan pulang ke kampung atau semasa berhari raya untuk dimuatkan dalam www.jomkewarung.blogspot.com. Adam akan pulang ke Johor dan Perak, Akmal pula ke sekitar Dengkil, Fitri ke Petaling Jaya dan Ashraf pula pulang ke Jelebu, Negeri Sembilan. Kelakarkan? Kami seolah-olah pesawat yang menunggu untuk berlepas di Lapangan Terbang. Masing-masing dengan destinasi yang berbeza.
Bagaimanapun, semalam, Adam sempat merakamkan gambar warung-warung lemang di Jalan Kajang-Semenyih sewaktu menghantar adiknya ke pusat Tusyen. Ramai betul pelanggan walaupun sudah hampir waktu berbuka. Warung lemang ini unik sebab hanya dijumpai dua tahun sekali iaitu menjelang Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Hai..itulah keistimewaan warung di Malaysia! Sentiasa membikin hati kita gembira dalam apa jua suasana!
GENG WARUNG MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA. MAAF ZAHIR DAN BATIN.



Rabu, September 17, 2008

ROTI CANAI TERBANG ROCK AND ROLL


Hari ini adalah Hari Nuzul Quran dan cuti umum bagi negeri Selangor. Adakah anda ada rancangan hendak ke mana-mana warung? Atau mungkin anda mahu berehat di rumah sahaja? Geng Warung bercadang mahu menonton CD filem LAGI-LAGI SENARIO. Ianya tentang 'persaingan dua peniaga warung'.
Kisahnya mengenai Wahid yang menjadi mangsa kegawatan ekonomi apabila restoran eksklusif tempat dia bekerja memberhentikan tenaga kerja. Wahid akhirnya menjadi pelayan di warung Azlee. Yassin dan Saiful, turut bekerja di warung Azlee. Masing-masing bekerja sebagai pelayan dan penebar roti canai. Warung Azlee popular kerana keistimewaan roti canai buatan Saiful.
Suatu hari, seorang pemuda bernama Mazlan, membuka warung bersebelahan warung Azlee. Mulanya, Azlee tidak berasa tergugat kerana menganggap kehadiran warung baru itu bakal memberi persaingan sihat.
Tetapi pendiriannya berubah apabila Saiful mengambil keputusan untuk bekerja di warung Mazlan. Sejak itu warung Azlee tidak lagi mendapat perhatian. Azlee cuba mencari penebar roti baru tetapi usahanya gagal. Yassin pun ikut jejak Saiful bekerja dengan Mazlan. Wahid bersimpati dengan nasib Azlee dan berazam memperbaiki keadaan. Dia berlatih menebar roti sendirian.
Suatu hari Wahid memberitahu Azlee dia bersedia menjadi penebar roti canai serta menyediakan gimik untuk menarik perhatian pelanggan setia Mazlan. Azlee mengumumkan secara besar-besaran bahawa dia akan melancarkan Roti Canai Terbang Rock & Roll. Rancangan Wahid dan Azlee menjadi dan warung mereka kembali dipenuhi pelanggan.
Nah..begitulah sedikit sebanyak informasi berkenaan filem yang diterbitkan pada tahun 2001 ini. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati daripada filem ini. Jadi, jika ada masa, jom tonton!

Selasa, September 09, 2008

AMALAN BAIK DI WARUNG

Para pengunjung semua, esok Geng Warung akan menduduki peperiksaan UPSR 2008. Jadi kami berpakat untuk sahur lebih awal supaya dapat tidur lebih lama dan segar keesokan harinya. Jangan lupa doakan kejayaan kami ya!
Bercakap tentang makanan, Geng Warung ingin berkongsi maklumat yang dipaparkan di laman web Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur mengenai amalan baik peniaga makanan tidak kiralah di restoran ataupun warung.
Antaranya, semua pengendali makanan hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa, mempunyai kuku yang pendek, mencuci tangan selepas ke tandas dan sebelum mengendali makanan, tidak merokok semasa mengendalikan makanan, tidak menghembus hidung, tidak batuk dan bersin ke arah makanan,jangan memegang wang semasa mengendalikan makanan, menggunakan kain pengelap yang bersih dan berasingan untuk mengelap pinggan, mangkuk, meja dan tangan, memegang sudu, garpu, pisau atau cawan yang bersih pada tangkainya dan tidak meludah merata-rata.
Semasa mengendali makanan pula,pengendali makanan hendaklah tidak menggaru badan, mengorek sama ada telinga, gigi atau hidung, menjilat jari, mengunyah sireh atau 'chewing gum', tidak membungkus, mengalas atau menutup makanan dengan bahan yang tidak bersih, plastik berwarna dan bahan bercetak seperti surat khabar. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi, anda bolehlah melawat pautan laman web di alamat http://jknkl.moh.gov.my/modules/xt_conteudo/index.php?id=54

Sabtu, September 06, 2008

Jom Beri Pendapat

Sudah hampir dua bulan lebih weblog www.jomkewarung.blogspot dibangunkan. Kepada pengunjung setia, kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana melawat blog ini. Dan kepada pengunjung baru, salam perkenalan kami ucapkan. Secara ringkasnya, tujuan blog ini dibangunkan ialah untuk memaparkan perniagaan konsep warung, yang sudah menjadi lumrah di negara yang kita cintai ini.
Jika anda mempunyai komen atau cadangan mengenai perniagaan warung, sila catat pendapat anda di ruang komen di sudut laman post. Geng Warung mengalu-alukan komen anda. Lagipun, jika kita mampu atau boleh melakukan sesuatu untuk memperbaiki dan memajukan lagi konsep perniagaan warung, kita seharusnya bergabung idea dan bertukar pendapat. Tidak begitu?
Warung bukan sahaja ada di negara kita, tetapi telah wujud di merata dunia seperti Indonesia,Thailand, Filipina mahupun Amerika Syarikat dan Eropah. Bezanya di negara Barat, ianya digelar street cafe, sidewalk cafe ataupun food kiosk. Pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman di dalam cuaca dingin dan nyaman. Sungguh berbeza dengan keadaanya di negara beriklim Khatulistiwa bukan?


Warung di Bangkok, Thailand. Gambar ehsan Encik Faisal


Street cafe di Toronto, Canada. Gambar ehsan HickerPhoto.com


Sidewalk cafe di California, Amerika Syarikat. Gambar ehsan Puan Suriani

Jumaat, September 05, 2008

Bazar Ramadhan Datang Lagi

Jam sudah hampir pukul 2 pagi. Anda sudah bersahur ke? Sebelum itu Selamat Berpuasa kepada semua pengunjung Warung Kita. Maafkan Geng Warung sebab sudah lama tidak menjenguk di sini. Sibuk sangat dengan persediaan UPSR. Sekarang ni pula bulan puasa, jadi masa agak terhad untuk kemaskini blog. Apatah lagi solat terawih harus ditunaikan disamping mengulangkaji pelajaran.
Anda berbuka apa hari ini? Seronok tak berkunjung ke Bazar Ramadan di tempat anda? Sejak 3 hari berpuasa ni, Geng Warung sempat ke Bazar Ramadan di Bandar Seri Putra. Seronok juga kerana pelbagai makanan yang sukar didapati pada hari biasa ada dijual di Bazar Ramadan.
Seperti Ayam Percik ini..nampak sedap dan memang sedap!



dan juga ikan bakar..



Apapun, pastikan anda berkunjung ke warung yang bersih demi menjaga kesihatan anda di bulan puasa ini. Selamat menjamu selera dan semuga anda mendapat keberkatan di Bulan Ramadhan ini.