Rabu, September 17, 2008

ROTI CANAI TERBANG ROCK AND ROLL


Hari ini adalah Hari Nuzul Quran dan cuti umum bagi negeri Selangor. Adakah anda ada rancangan hendak ke mana-mana warung? Atau mungkin anda mahu berehat di rumah sahaja? Geng Warung bercadang mahu menonton CD filem LAGI-LAGI SENARIO. Ianya tentang 'persaingan dua peniaga warung'.
Kisahnya mengenai Wahid yang menjadi mangsa kegawatan ekonomi apabila restoran eksklusif tempat dia bekerja memberhentikan tenaga kerja. Wahid akhirnya menjadi pelayan di warung Azlee. Yassin dan Saiful, turut bekerja di warung Azlee. Masing-masing bekerja sebagai pelayan dan penebar roti canai. Warung Azlee popular kerana keistimewaan roti canai buatan Saiful.
Suatu hari, seorang pemuda bernama Mazlan, membuka warung bersebelahan warung Azlee. Mulanya, Azlee tidak berasa tergugat kerana menganggap kehadiran warung baru itu bakal memberi persaingan sihat.
Tetapi pendiriannya berubah apabila Saiful mengambil keputusan untuk bekerja di warung Mazlan. Sejak itu warung Azlee tidak lagi mendapat perhatian. Azlee cuba mencari penebar roti baru tetapi usahanya gagal. Yassin pun ikut jejak Saiful bekerja dengan Mazlan. Wahid bersimpati dengan nasib Azlee dan berazam memperbaiki keadaan. Dia berlatih menebar roti sendirian.
Suatu hari Wahid memberitahu Azlee dia bersedia menjadi penebar roti canai serta menyediakan gimik untuk menarik perhatian pelanggan setia Mazlan. Azlee mengumumkan secara besar-besaran bahawa dia akan melancarkan Roti Canai Terbang Rock & Roll. Rancangan Wahid dan Azlee menjadi dan warung mereka kembali dipenuhi pelanggan.
Nah..begitulah sedikit sebanyak informasi berkenaan filem yang diterbitkan pada tahun 2001 ini. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati daripada filem ini. Jadi, jika ada masa, jom tonton!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ya betul. filem Lagi- Lagi Senario ni kalau tak silap memang filem paling laku tahun 2001. kisahnya baik dijadikan teladan untuk semua peniaga warung. Tahniah Geng Warung!